Portalkini
Hello There, Guest! Register
Selamat datang ke Portalkini.com. Jika ini kali pertama anda melayari website ini, sila gunakan button REGISTER untuk mendaftar. Selepas mendaftar anda mempunyai akses penuh kepada thread yang telah dikunci. Jika anda sudah mendaftar, sila klik LOGIN untuk masuk. Jika terdapat sebarang permasalahan dalam pendaftaran anda boleh klik butang CONTACT. Pendaftaran adalah percuma.

NordFX

All banners display are for advertisement only. Want to put your banner here with our latest lower rate ?? Click Here


Thread Rating:
  • 0 Vote(s) - 0 Average
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
PTPTN Apa yang terbaik?
#1
Mansuhkan Caj Perkhidmatan PTPTN Bukannya Mansuhkan PTPTN



Oleh : ASSOC. PROF. DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Head of Research Affairs,
International Shari`ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

Polemik mengenai PTPTN nampaknya kembali menghangat di pentas massa ketika ini terutamanya selepas Pakatan Pembangkang mengumumkan tawaran terbaru mereka kepada rakyat menjelang Piliharaya Umum Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.


Sememangnya, sejak awal diperkenalkan, isu PTPTN ini tidak pernah sunyi daripada polemik perdebatan di kalangan massa. Isu ini kembali menjadi tumpuan lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya yang menyaksikan parti-parti politik saling cuba membuat pelbagai tawaran demi menagih undi terutamanya dikalangan pengundi muda.


Bagi penulis apa juga tawaran dan janji-janji politik yang ingin ditabur mestilah bersifat realitik, praktikal dan bertanggungjawab dengan mengambil kira realiti, kemampuan dan masa depan negara. Bukannya sekadar janji kosong yang akhirnya tidak dikota lantaran sikap politikus yang seringkali mengeksploitasi imaginasi rakyat dengan fatamorgana janji-janji berupa bulan dan bintang.


Walaubagaimanapun, penulis masih berpegang pada pendirian sejak awal PTPTN diperkenalkan bahawa apa jua skim pinjaman pendidikan mestilah bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan syarak terutamanya dalam konteks RIBA.

Kepentingan Memerangi Riba
Sememangnya pembangunan sistem mahupun instrumen alternatif yang bebas riba amat mustahak bagi memastikan kehidupan manusia khususnya generasi muda yang akan menjadi aset berharga negara pada masa akan datang lebih dirahmati dan diberkati Allah.Ini amat bertepatan dengan amaran Allah S.W.T.:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ


"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya". (Al-Baqarah:278-279)
Tafsir Ibn Kathir meriwayatkan kata-kata Ibn Abbas yang menyebut:
فَمَنْ كَانَ مُقِيمًا عَلَى الرِّبَا لَا يَنْزَعُ عَنْهُ فَحَقٌّ عَلَى إِمَامِ الْمُسْلِمِينَ أَنْ يَسْتَتِيبَهُ، فَإِنْ نَزَعَ وَإِلَّا ضَرَبَ عُنُقَهُ
“Sesiapa yang masih mengamalkan riba dan tidak mahu menjauhinya, maka pemerintah umat Islam berhak memintanya bertaubat. Jika tidak juga bertaubat, pemerintah berhak memenggal tengkuknya”.
Begitulah kerasnya sesetengah ahli tafsir menelaah maksud ayat-ayat riba yang pada hakikatnya amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sebab itulah Nabi SAW turut menggambarkan bahawa dosa riba merupakan sebahagian daripada tujuh kesalahan besar yang dilaknat Allah:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

“Jauhilah tujuh kesalahan besar. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kesalahan itu? Baginda menjawab: Mensyirikkan Allah SWT, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan Allah SWT kecuali kerana kebenaran, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada pertempuran, serta menuduh wanita suci dan beriman berzina tanpa disedarinya.”[1]


Dalam satu hadis yang lain Nabi SAW menggambarkan dosa riba ini lebih teruk daripada berzina dengan ibu kandung sendiri:

الرِّبَا ثَلَاثَةٌ وَسَبْعُونَ بَابًا، أَيْسَرُهَا مِثْلُ أَنْ يَنْكِحَ الرَّجُلُ أُمَّهُ، وَإِنَّ أَرْبَى الرِّبَا عِرْضُ الرَّجُلِ الْمُسْلِمِ

“Riba terbahagi kepada tujuh puluh tiga jenis, yang paling rendah diantaranya seperti menikahi seseorang dengan ibunya sendiri, dan yang paling teruk antaranya ialah memusnahkan maruah seseorang Muslim"[2].
Dosa riba ini juga bukan terhad kepada pemberi dan penerima sahaja malah yang bersubahat sama ada sebagai saksi mahupun sebagai penulis sebagaimana hadis Nabi SAW:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ» ، وَقَالَ: هُمْ سَوَاءٌ

“Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, wakilnya, penulisnya dan dua orang saksinya. Baginda kemudiannya bersabda: Mereka semua sama”.[3]
Demikianlah bahana riba yang dikategorikan sebagai dosa besar yang bukan sahaja diumpamakan seperti berzina dengan ibu kandung sendiri malah lebih parah lagi sehinggakan Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap pengamalnya.


Sebab itulah dalam konteks urusniaga kewangan semasa, ulamak telah banyak memperincikan garis panduan berasaskan prinsip syarak dalam memastikan urusan muamalah ummat benar-benar bebas daripada unsur-unsur riba yang diharamkan.


Riba Yang Berkaitan dengan Pinjaman

Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis:

كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً فَهُوَ رِبًا

"Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba". (Al-Sunan Al-Kubra Lil-Baihaqi, Jilid 5, ms 571)
Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyatakan bahawa:

يحرم اشتراط زيادة في القرض للمقرض وهي ربا, سواء اكانت الزيادة في الصفة أم في القدر, وسواء أكانت الزيادة عينا أم منفعة , وسواء أكان اشترط الزيادة في العقد أم عند تأجيل الوفاء أم خلال الأجل

"semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba".

Status Caj Perkhidmatan Dalam Skim Pinjaman

Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia dibawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.

Dalam Piawai Syariah atau Al-Mi'yar Al-Syar'iyyah yang dikeluarkan oleh AAOIFI, No.19/9 disebutkan seperti berikut:

يجوز للمؤسسة المقرضة أن تأخذ على خدمات القروض ما يعادل مصروفاتها الفعلية المباشرة, ولا يجوز لها أخذ زيادة عليها, وكل زيادة على المصروفات الفعلية محرمة. ويجب أن تتوخي الدقة في تحديد المصروفات الفعلية بحيث لا يؤدي إلى زيادة تؤول إلى فائدة.

"Dibenarkan bagi institusi yang memberi pinjaman mengenakan caj atas perkhidmatan pemberian hutang seabagaiman kos sebenar yang dibelanjakan dalam melaksanakan perkhidmatan tersebut. Adalah tidah dibenarkan bagi institusi mengenakan caj melebihi kos perkhidmatas sebenar. Semua caj yang melebihi kos sebenar perkhidmatan adalah haram. Hendaklah dipastikan ketepatan dalam menentukan kos sebenar perkhidamatan bagi mengelakkan wujud lebihan yang membawa kepada manfaat yang diharamkan......" (AAOIFI, Piawai Syariah No.19, 9/1)
Piaiwai Syariah AAOIFI ini adalah seiring dengan Resolusi No.13 (1/3) yang dikeluarkan oleh Majma' Fiqh Al-Dawli atau Majlis Fatwa OIC. Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperolehi daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.
Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC dan Piawai Syariah AAOIFI tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan. Malah turut dipertegaskan dalam Piawai Syariah AAOIFI bahawa kos sebenar tidak termasuk perbelanjaan tidak langsung (indirect expenses) sebagaimana yang disebut seperti berikut:

لا تدخل في المصروفات الفعلية على خدمات القروض المصروفات غير المباشرة, مثل رواتب الموظفين وأجور المكان والأثاث ووسائل النقل, ونحوها من المصروفات العمومية والإدارية للمؤسسة.

"Tidak termasuk dalam pengiraan kos sebenar perkhidmatan pengurusan hutang adalah perbelanjaan tidak langsung seperti gaji pekerja, sewa tempat, aset dan pengangkutan serta perbelanjaan umum meliputi pengurusan institusi"(AAOIFI, Piawai Syariah No.19, 9/2).

Demikianlah perincian yang begitu teliti dilakukan oleh para ulamak dalam memperhalusi isu caj perkhidmatan yang dikenakan dalam urusniaga pinjaman. Semua ini bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur riba yang diharamkan. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.

Justeru, amat mustahak untuk dipastikan bahawa caj perkhidmatan yang dikenakan dalam memberikan kemudahan pinjaman pendidikan kepada para pelajar khususnya dalam konteks PTPTN yang dibincangkan ini, benar-benar mewakili kos sebenar perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman yang diberikan.


Kedudukan Pinjaman Dalam Islam

Pinjaman atau istilah fiqhnya Qard adalah salah satu bentuk kontrak muamalah yang dibenarkan. Malah dalam Al-Quran, perkataan Qard senantiasa digabung-jalinkan dengan perkataan Hasan yang berasal daripada perkataan Ihsan bermaksud berbuat kebajikan kepada orang lain. Maka Qard al-Hasan ialah instrumen hutang bersifat kebajikan yang diberikan kepada orang yang memerlukannya untuk tempoh tertentu tanpa sebarang faedah dikenakan ke atas nilai asas hutang tersebut.
Qard al-Hasan merupakan kontrak kebajikan yang besar nilainya disisi Allah. Dalam Al-Quran, disebut mengenai Qard al-Hasan di beberapa tempat antaranya:

إِنْ تُقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعِفْهُ لَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ شَكُورٌ حَلِيمٌ

"Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik (qardan hasanan) nescaya Allah melipat-gandakan (pembalasannya) kepadamu dan mengampunimu" (At-Taghaabun:17).

Banyak lagi ayat Al-Quran lain yang turut memperincikan ganjaran besar kepada mereka yang ikhlas memberi pinjaman berbentuk Qard al-Hasan ini (Lihat Al-Baqarah:245, Al-Maidah:12, Al-Hadid:18, Al-Muzammil:20)


Malah menurut pandangan sesetengah ulamak, nilai Qard al-Hasan lebih baik daripada pemberian sedekah bersandarkan hadis Nabi S.A.W: 'Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda'. Rasulullah bertanya kepada Jibrail, “Kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?” Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan’. (Ibn Majah dan Baihaqi).
Hakikatnya memberi pinjaman sesuatu yang digalakkan dalam Islam atas prinsip kebajikan dan bagi membantu mereka yang memerlukan. Bersandarkan dalil-dalil Al-Quran dan hadis di atas, jelas betapa ganjaran besar berlipat-ganda menanti mereka yang bersedia memberi pinjaman atas dasar kebajikan tanpa mengenakan sebarang lebihan apabila dibayar balik.


Daripada perpektif yang lain, nilai pinjaman tidak akan merosot, malah apabila dikembalikan oleh peminjam, nilai pinjaman tadi boleh dimanfaati oleh orang lain pula. Sebaliknya sedekah yang berupa 'one-off' hanya akan dimanfaati oleh penerima sedekah itu sahaja. Justeru jika diberi pilihan antara memberi pinjaman dan sedeka yang bersifat one-off, adalah lebih baik memberi pinjaman lantaran pahala memberi pinjaman lebih berkali ganda berbanding sedekah.


PTPTN Tidak Wajar Dimansuh

Berbalik kepada isu mutakhir mengenai tawaran pemansuhan terus skim pinjaman PTPTN ini oleh Pakatan Pembangkang. Penulis berpandangan adalah tidak wajar dimansuhkan PTPTN sekaligus kerana hakikatnya pinjaman PTPTN boleh dimanfaati oleh khalayak yang lebih besar berbanding skim biasiswa yang memfokuskan kelompok pelajar elit yang cemerlang akademiknya.


Pengenalan skim pinjaman PTPTN memberi peluang kepada sesiapa sahaja tidak kira yang cemerlang di peringkat menengah mahupun bagi yang kurang bernasib baik untuk meneruskan pengajian di peringkat tertiary atau Pengajian Tinggi yang hakikatnya kos pendidikan adalah lebih tinggi berbanding peringkat rendah dan menengah.


Bagi penulis selain PTPTN, kerajaan perlu terus menyediakan peluang-peluang biasiswa samaada daripada JPA, MARA dan syarikat-syarikat milik kerajaan dan kaitan kerajaan atau GLC kepada pelajar-pelajar cemerlang. Cuma bagi pelajar-pelajar lain samaada yang ingin meneruskan di Instituti-institusi Pengajian Awam mahupun Swasta (IPTA dan IPTS), dana PTPTN perlu terus disediakan. Dana pinjaman PTPTN ini juga bersifat pusingan yang boleh dimanfaati berulang-ulang kali oleh setiap warga dengan syarat semua peminjam harus bertanggungjawab membayar balik pinjaman atas rasa amanah dan taqwa.


Dicadangkan juga agar skim PTPTN ini mempunyai unsur pinjaman boleh-ubah sebagaimana yang diamalkan suatu ketika seperti skim pinjaman boleh ubah JPA dan MARA. Ini bermakna bagi peminjam yang mendapat keputusan cemerlang seperti Ijazah Kelas Pertama umpamanya, boleh diubah menjadi biasiswa penuh. Walaubagaimanapun pemantauan lebih teliti harus dilakukan khususnya di institusi-institusi swasta agar kualiti peperiksaan benar-benar mencapai taraf sebagaimana IPTA dan bebas daripada sebarang unsur-unsur manipulasi dan penipuan.


Memansuhkan Caj Perkhidmatan PTPTN

Walaupun penulis tidak bersetuju agar PTPTN dimansuhkan sepenuhnya, penulis merasakan sudah tiba masanya kerajaan memansuhkan terus caj perkhidmatan yang dikenakan kepada peminjam. Bagi penulis, mekanisme caj perkhidmatan yang dilakukan oleh PTPTN yang mengenakan caj 1-2 peratus ke atas nilai pinjaman adalah tidak menepati Piawai Syariah AAOIFI dan pandangan majoriti ulamak di peringkat antarabangsa yang hanya membenarkan caj berpandukan kos sebenar sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini.


Justeru, cadangan penulis agar kerajaan menyediakan peruntukan khas dalam bajet tahunan untuk menampung kos pengurusan PTPTN. Sesungguhnya aspek pengurusan pendidikan dan hal-hal berkaitan dengannya termasuklah dalam aspek pinjaman pendidikan seharusnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan. Ini juga merupakan salah satu cara memastikan bebanan hutang yang ditanggung generasi muda negara akan datang dapat dikurangkan.


Moga-moga dengan penawaran skim pinjaman yang bersifat kebajikan bebas daripada riba sebagaimana tuntutan Syariat akan menjadikan rakyat dan negara dilimpahi dengan rahmat dan barakah Allah sentiasa. InsyaAllah.
Wallahu'allam bi sowab.



ASSOC. PROF. DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Head of Research Affairs,
International Shari`ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

[1] Riwayat Al-Bukhari (2615) dan Muslim (89)
[2] Riwayat Ibn Majah dan Al-Hakim
[3] Sahih Muslim (1219).
Reply
Thanks given by:
Advertisement
#2
alamak. takde paragraph. Pening nak baca Winking
utamamm dad datdat padam..madhyam padam thuchuk thuchuk
khanishtham thudthudiii padam..sursuria pran khatkam..!!!!


[Image: TTU3tZW.jpg]
Reply
Thanks given by:
#3
(04-01-2012, 01:05 AM)gamemaster Wrote: alamak. takde paragraph. Pening nak baca Winking



Dah buat perenggan,,Den pon x habis baca lg..sja letak sini dulu..:dodgy:
Reply
Thanks given by:
#4
apa yg terbaik mansuhkan je caj perkhidmatan..nama pun pinjaman pelajaran.x patutla nk kenakan interest
Reply
Thanks given by:




Users browsing this thread: 1 Guest(s)