Portal Komuniti Informasi Malaysia Terkini
BTCClicks.com Banner
Hello There, Guest! Register Login with Facebook

Thread Rating:
  • 0 Vote(s) - 0 Average
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
Sistem 2 parti lebih mudah kalahkan BN
#1
PAS merumuskan sistem dua parti pasti akan berlaku juga di negara ini suatu masa nanti dengan jangkaan sekitar lima tahun lagi dan paling lewat 10 tahun dari sekarang.

Kewujudan sistem itu berdasarkan perkembangan dan tuntutan semasa, tetapi bergantung kepada kesediaan ahli-ahli PAS sendiri untuk menerimanya setelah mereka memahami dengan jelas mengenai perkara itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keadaan sekarang masih tidak mengizinkan untuk diwujudkan sistem itu kerana masih terdapat di kalangan ahli PAS sendiri yang tidak bersedia untuk menerimanya.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku disebabkan sesetengah ahli PAS masih tidak memahami keperluan sistem 2 parti, ekoran kegagalan mereka memahami "Tahaluf Siyasi" antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, sungguhpun begitu, perkembangan ke arah kewujudan sistem 2 parti telah pun berlaku di negara kita sekarang dan ia tercetus hasil kerjasama politik antara PAS dan parti S46 beberapa tahun lalu.

"Sistem 2 parti merupakan perkara penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat kerana dengan itu akan lebih memudahkan usaha bersama untuk mengalahkan BN dalam pilihanraya.

"Dengan adanya sistem 2 parti barulah PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat boleh menggunakan lambang satu parti seperti yang dilakukan oleh parti-parti dalam BN yang hanya menggunakan lambang BN ketika menghadapi pilihanraya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Forum Tarbawi: Masa Depan Perjuangan PAS Dalam Landskap Politik Semasa di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Selain beliau, turut menjadi ahli panel pada forum itu Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, manakala moderatornya Pengarah Akademik Kepimpinan Pemuda PAS Malaysia, Nazri Chik yang juga Exco dewan tersebut.

Forum tersebut diadakan sempena Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berlangsung selama 3 hari bermula semalam, dengan disertai ribuan pemimpin pemuda PAS termasuk di peringkat pusat, negeri-negeri dan kawasan-kawasan di seluruh negara.

Sebelum itu, Mustafa berkata, kerjasama politik atau "Tahaluf Siyasi" antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat tidak seharusnya menjadi pertikaian ahli-ahli PAS kerana ia berasaskan hukum syarak.

"Sebelum diadakan kerjasama itu, pucuk kepimpinan tertinggi PAS telah pun "bermerah mata" membincangkannya secara mendalam berhari-hari, termasuk membawa kepada perbincangan bersama ulama-ulama Islam di seluruh dunia yang berada dalam gerakan Islam," katanya.

Konsep "Tahaluf Siyasi, tegasnya, adalah salah satu strategi atau pendekatan yang diambil oleh PAS dalam politik untuk menang dalam pilihanraya dan ia berbeza sama sekali dengan dasar perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

Perkara itu perlu difahami dengan mendalam oleh setiap ahli PAS agar tidak menimbulkan kekeliruan mengenainya, apatah lagi sehingga boleh melemahkan semangat perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di muka bumi ini.

"Tapi walaupun tidak faham, ahli-ahli PAS tetap juga wala' dengan pemimpin. Itulah sifat terpuji yang ada pada ahli-ahli PAS. Sungguhpun begitu, jika tidak faham kenalah bertanya kepada pemimpin. Paling tidak, bertanyalah kepada pesuruhjaya PAS di negeri masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan mengarahkan bahagian penerangan PAS untuk menerangkan perkara itu kepada ahli-ahli parti, bagi membolehkan konsep "Tahaluf Siyasi" yang dilakukan itu difahami oleh ahli-ahli PAS di segenap peringkat.
BUKA AKAUN FOREX ANDA DISINI | SERVIS MEMBEKAL DAN MENCETAK PERALATAN T-SHIRT WHATSAPP DI 0183991568
Reply
Thanks given by:


Forum Jump:


Users browsing this thread: 1 Guest(s)