Portal Komuniti Informasi Malaysia Terkini
BTCClicks.com Banner
Hello There, Guest! Register Login with Facebook

Thread Rating:
  • 0 Vote(s) - 0 Average
  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
Pengusaha Belacan Mampu Peroleh Pulangan Lumayan
#1
ALOR SETAR, 18 April (Bernama) -- Ramai beranggapan industri desa tidak mampu memberi pulangan yang lumayan dan kerana itu tidak ramai yang berani menceburi industri itu yang dikategorikan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Bagaimanapun, menerusi usaha kerajaan, semakin ramai terutama golongan muda yang mula menceburi industri yang sebelum ini dianggap "kampung" itu.

Antara yang yakin industri desa ini mampu memberi pulangan yang lumayan ialah Sudin Bakar, 48, seorang pengusaha belacan yang berasal dari Alor Ibus, Kuala Kedah dekat sini.

Industri belacan yang diusahakan kini banyak mengubah kehidupannya berbanding sewaktu bekerja makan gaji dulu.

Sudin melibatkan diri dalam pembuatan belacan selama 12 tahun iaitu sejak tahun 2000 dengan menggunakan jenama "Rodiah" sebelum menukarnya kepada "Sinar".

BERHENTI KERJA UNTUK JADI TAUKEH

Sebelum menceburi bidang pembuatan belacan ini, Sudin pernah bekerja sebagai pemandu lori mulai 1987 sebelum berhenti untuk menceburi perniagaan.

Pendapatan beliau sebagai pemandu lori sebelum ini hanya RM1,200 sebulan dan ini tidak banyak membantu menampung kehidupan harian beliau yang mempunyai lapan anak.

Tetapi dengan berkat usaha dan kesabaran, beliau kini mampu meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan dan dengan hasil inilah beliau mengubahsuai rumah pusaka yang didiami di Alor Ibus.

Sudin memulakan pengusahaan belacan selepas dapat mengumpul modal hasil wang simpanan selain pinjaman daripada institusi kewangan sebanyak RM21,000, serta bantuan daripada pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebanyak RM10,000.

Hasil bantuan modal yang diperoleh daripada LKIM beliau mampu membeli mesin dan peralatan untuk memproses belacan.

Walaupun ramai yang menganggap belacan sebagai satu bahan yang kurang menyenangkan kerana mengeluarkan bau yang kuat tetapi baginya belacan adalah sumber rezeki yang boleh mendatangkan keuntungan dan berpotensi untuk dimajukan.

Katanya belacan sebenarnya boleh dikomersilkan kerana belacan telah menjadi sebahagian daripada keperluan utama dalam bahan masakan masyarakat Melayu.

PROSES RUMIT

Setiap hari Sudin yang dibantu oleh isterinya, Rodiah Hashim, 48, dan anak akan menghasilkan kira-kira 150 ketul belacan.

Penghasilan belacan ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan dan keadaan cuaca memainkan peranan yang penting dalam penghasilan belacan kerana sekiranya cuaca kurang elok mereka tidak akan menghasilkan belacan kerana sukar untuk mengeringkannya.

Proses pengeringan belacan ini mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam.

Belacan yang dihasilkan Sudin diedarkan di pasar-pasar borong sekitar Kedah.

Seketul belacan bersaiz besar berharga RM3 manakala bagi saiz kecil berharga RM1. Selain memasarkannya di pasar borong, belacan juga mendapat permintaan yang meluas dari negeri lain seperti Perlis dan Kuala Lumpur.

Pemborong turut mendapatkan belacan daripada beliau kerana kualiti dan rasa yang sedap.

Sudin berkata sebelum ini memang dia berhasrat untuk memasarkan sendiri belacan buatannya ini tetapi dengan kos penghantaran yang agak mahal beliau merasakan ia tidak berbaloi dengan kos jualan yang diperolehnya.

"Saya ada dapat tempahan sehingga ke Sabah dan Sarawak tetapi terpaksa menolaknya kerana kos penghantaran yang tinggi," katanya.

GUNA UDANG GERAGAU

Bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan belacan ialah udang geragau yang diperoleh daripada nelayan di Kedah dan Perak.

Setiap dua kali sebulan beliau akan memesan lima tan udang geragau daripada pemborong dan udang yang diperoleh mestilah masih segar.

Rodiah pula berkata bekalan udang segar ini tidak pernah putus dan kerana itulah belacan yang sedap dapat dihasilkan.

"Dua kali sebulan saya akan menghubungi pemborong untuk mendapatkan bekalan udang bagi memastikan bekalan udang segar tidak terputus," katanya.

-- BERNAMA
BUKA AKAUN FOREX ANDA DISINI | SERVIS MEMBEKAL DAN MENCETAK PERALATAN T-SHIRT WHATSAPP DI 0183991568
Reply
Thanks given by:
#2
Wah, ternyata proses menjadi pengusaha itu prosesnya luar biasa panjang yaa.. Tapi kalau kita bersusah payah buat capai itu semua, pasti sukses dikemudian hari.
Reply
Thanks given by:


Forum Jump:


Users browsing this thread: 1 Guest(s)